Lebih daripada itu, elemen berkenaan juga mesti dititikberatkan bagi memastikan pelajar dan mahasiswa diberi pendedahan ilmu pengetahuan serta nilai murni berterusan ke arah penjanaan generasi yang berakhlak dan mempunyai keperibadian tinggi. Inisiatif yang progresif dan intensif ini diperlukan di dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi merealisasikan matlamat menjadikan IPT di negara ini semakin dinamik dan sistematik. Ini sejajar dengan visi untuk melahirkan graduan cemerlang yang holistik, mampu mencapai kejayaan serta berdaya saing dalam pasaran kerjaya di dalam dan luar negara.
Mahasiswa seharusnya sedar dan bangkit menyahut cabaran ini. Mahasiswa yang cemerlang, gemilang dan terbilang amat diperlukan di dalam memacu kemajuan menyeluruh dari segala aspek kehidupan. Mahasiswa berjiwa besar serta berfikiran kreatif dan kritis sangat diharapkan di dalam meneruskan agenda pembangunan serta memacu Malaysia merealisasikan wawasannya untuk menjadi negara maju yang dinamik dan terpimpin menjelang tahun 2020 mengikut acuan sendiri.
Setiap insan, tanpa mengira usia, bangsa dan agama menyedari tentang pentingnya pendidikan agama dan moral di dalam kehidupan seseorang. Di dalam Islam, dari segi falsafahnya, pendidikan adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, demi menghasilkan hamba Allah yang bertanggungjawab dalam membangunkan diri serta menjadi kemegahan diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara. Dalam dunia yang penuh dengan pelbagai persaingan, negara kita sangat memerlukan agar masyarakatnya khususnya golongan mahasiswa terus-menerus mempertingkatkan potensi intelektual mereka ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat.
Sebagaimana yang dinyatakan dengan jelas dalam Falsafah Pendidikan Negara yang merupakan roh, nadi dan penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan kebangsaan, usaha harus ditekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani yang berteraskan kepada agama. Memang menjadi hasrat kita semua agar warga Malaysia berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi serta berakhlak mulia agar mereka dapat memberikan sumbangan bermakna kepada kemandirian ummah mengikut lunas-lunas agama yang diredhai oleh Allah SWT.
Pendidikan Kita, Dari Mana Hendak ke Mana?
Saya cukup tertarik dengan buah fikiran (Allahyarham) Tun Hamdan Sheikh Tahir berkenaan Pendidikan di Malaysia: Dari Mana Hendak ke Mana? Beliau menyatakan bahawa pendidikan dalam kehidupan manusia memang telah lama diberikan penekanan dalam masyarakat di negara kita bermula dari seseorang itu belum lahir lagi. Dalam budaya masyarakat Melayu khususnya unsur pendidikan telah disebatikan dalam budaya dan adat resam yang secara langsung memberikan imej tentang pentingnya pendidikan. Sebagai contoh, irama yang pernah satu ketika dulu dinyanyikan oleh para ibu sewaktu mendodoikan anak-anak: “buai tinggi-tinggi sampai pucuk atap, belum tumbuh gigi sudah pandai baca kitab”. Malah, masyarakat Islam sering diperingatkan betapa pentingnya pendidikan dan betapa tingginya kedudukan orang yang berusaha gigih dalam mendapatkan ilmu pendidikan sebagaimana ungkapan Saidina Ali r.a. “antara ilmu dan harta, pilihlah ilmu kerana ilmu akan terus kekal menjaga harta sedangkan harta akan habis”.
Persoalannya di sini ialah adakah kita telah mencapai hasrat yang kita idam-idamkan ? Cuba kita sama-sama menoleh ke belakang. Adakah kita telah dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk generasi yang akan kita tinggalkan? Dan, cuba kita renung ke hadapan. Adakah generasi yang akan datang ini mampu untuk memenuhi impian kita? Jika jawapan kepada dua persoalan di atas ialah YA, maka kita mempunyai harapan yang cerah dalam memastikan bahawa generasi pewaris ini akan terus memperjuangkan usaha kita dalam memartabatkan bangsa Malaysia. Apapun, kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan kerana zaman kita mungkin akan jauh berbeza dengan zaman generasi akan datang. Jika jawapan kita ialah TIDAK, maka belum lagi terlambat. Kita perlu meneliti kembali apa yang perlu kita lakukan seterusnya. Tidak perlu kita tangisi apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita perlu bertindak sekarang. Jika jawapan kita ialah TIDAK PASTI, maka kita perlu risau kerana bila kita tidak pasti maka kita was-was dengan apa yang telah kita lakukan selama ini dan masih akan terus was-was untuk melakukannya pada masa akan datang.
Sementara itu, Datuk Dr Ismail Ibrahim pula menyatakan bahawa konsep ilmu dan pendidikan dalam Islam mengandungi pengertian yang menyeluruh, holistik dan luas yang tidak semata-mata terhad kepada ritual agama atau Fardhu Ain. Ilmu dari kaca mata Islam merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia termasuk disiplin ilmu seperti sains, teknologi, ekonomi, sosial dan lain-lain. Secara terus-terang, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini turut menyatakan bahawa sistem dan dasar pendidikan Islam yang merangkumi konsep dan falsafah serta pengisiannya di negara kita masih lagi dalam keadaan gawat. Ia masih lagi tidak bermaya mengeluarkan manusia yang mampu menyumbang kepada pembangunan arus perdana global.
Menurut beliau lagi, di negara ini, pendidikan Islam hanya membanggakan dari segi statistik. Berdasarkan dokumen rasmi yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2000, bilangan sekolah menengah agama swasta adalah 210 buah manakala sekolah menengah agama negeri 112 buah. Sekolah agama rakyat pula mencapai 33 buah. Pada tahun 2001, bilangan kemasukan pelajar ke sekolah menengah agama kerajaan adalah 3.1 peratus berbanding kemasukan ke sekolah berasrama penuh (2.3 peratus). Katanya lagi, bilangan pelajar Malaysia yang mengikuti pendidikan agama di luar negara turut meningkat kepada jumlah belasan ribu, namun perangkaan siswazah yang paling ramai menganggur pada masa sekarang juga adalah di kalangan pelajar lepasan agama.
Antara Kuantiti dan Kualiti
Sistem pendidikan yang berkualiti mampu melahirkan tenaga kerja yang boleh menjadi global player dengan ciri-ciri peribadi unggul seperti jatidiri yang tinggi, inovatif, produktif, berkemahiran, berdaya saing dan kreatif bagi menangani cabaran negara dan arus dunia tanpa sempadan hari ini. Selain itu, dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan kelemahan di dalam konteks intelektual dan kegagalan di dalam merencana dengan baik sistem pendidikan akan menyebabkan sesuatu bangsa dan Ummah dinyahbelakangkan dan dipandang rendah. Lantaran itu, kita perlu merenung sejenak sambil membuat muhasabah diri tentang apa yang telah kita lakukan selama ini. Dalam hal ini kualiti pendidikan perlu diberi perhatian yang bukan sepicing cuma.
Di dalam membincangkan tentang kualiti pendidikan, Tun Hamdan Sheikh Tahir telah memberikan ulasan yang cukup bernas dan wajar kita fikir dan renungkan secara bersama. Menurut beliau, apabila kita menyebut tentang kualiti, maka kita tidak lari dari persoalan sama ada matlamat atau objektif pendidikan kita iaitu dengan melihat para pelajar yang telah dihasilkan. Mampukah generasi kita menangani isu globalisasi di mana akan berlakunya integrasi ekonomi, komunikasi serta maklumat dan menghasilkan satu pasaran dunia yang terbuka luas? Mampukah generasi kita bersaing di peringkat antarabangsa? Mampukah generasi kita secara bersepadu menangani isu dalaman yang sering memerlukan pemikiran yang kreatif dan inovatif? Mampukah generasi kita hidup dalam satu suasana yang penuh dengan kebijaksanaan dari segi etika dan moral?
Maka, usaha untuk memberi fokus kepada elemen pendidikan agama dan moral merentasi semua kursus dijalankan di institusi pengajian tinggi amatlah perlu dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan masyarakat madani yang diimpikan memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral dan etika. Kesemua elemen-elemen tersebut amatlah penting agar segala cita-cita murni yang sering dicanang-canangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai matlamat membentuk Masyarakat Madani yang Rabbani.
Membina IQ, EQ dan SQ
Lebih daripada itu, kita semua perlu sedar bahawa dunia sekarang dan mendatang tidak hanya bergantung kepada kecerdasan intelektual (IQ) sahaja tetapi perlu diterapkan juga kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Ketiga-tiga elemen ini sangat penting dalam membangunkan sumber generasi muda sekarang ini bagi menyediakan mereka untuk menghadapi mehnah dan tribulasi akan datang. Dasar meritokrasi yang digunapakai sekarang ini juga mungkin memerlukan penelitian semula bagai memastikan bahawa semua aspek diambil kira. Begitu juga dengan sistem penilaian pendidikan yang perlu diteliti bagi memastikan bahawa bukan setakat pengetahuan yang diuji tetapi lebih dari itu termasuk kepimpinan, daya cipta, daya juang, kesukanan (syarat terbaru kemasukan ke IPTA) dan sebagainya.
Ini bermakna bahawa kurikulum kita perlu dijuruskan untuk memenuhi keperluan semua golongan sebagaimana yang wujud dalam masyarakat kita: “yang capek menghalau ayam, yang buta meniup tepung, yang kurap menyiang buluh dan yang pekak membakar meriam”. Biarlah pada akhirnya yang tinggi menjadi bintang dan yang rendah terus menjadi intan. Tetapi kita tahu bahawa layang-layang terbang naik melawan angin. Juga, kita tidak boleh mengubah arah angin tetapi kita boleh mengubah kedudukan layar bagi memastikan perahu terus meluncur ke hadapan!
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment